Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, untuk itu, rakyat perlu mengubah cara pemikiran daripada melihat sektor pertanian itu sebagai sumber pendapatan minimum kepada satu sumber baharu kekayaan agar semua pihak termasuk golongan petani, penternak dan nelayan mampu hidup senang dan menjadi kaya.

Kata beliau, pemain industri pertanian juga perlu berpanda­ngan global dan mencipta kekayaan menerusi sektor tersebut dengan hanya tidak tertumpu pada peringkat tempatan sahaja.

“Inilah hasrat kita, sebab itu kita mesti melihat potensi yang mungkin belum lagi dapat direali­sasikan sepenuhnya.

“Namun, bibit-bibit kejayaan itu makin kelihatan berdasarkan sambutan global terhadap produk pertanian kita seperti durian, sarang burung walet, herba dan rumpai laut yang kini merupakan produk premium negara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK 2017) dan Festival Makanan Malaysia (MFF) 2017 di Taman Eks­po Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Saipolbahri Suib.

Jelas Perdana Menteri, mengambil contoh lawatan kerja beliau ke China baru-baru ini, katanya, selain berjaya menarik pelaburan sebanyak RM144 bilion ke Malaysia, hasil lawatan itu telah membuka pasaran baharu untuk buah durian tempatan iaitu Musang King.

Malah, beliau turut mengakui bertanggungjawab meminta durian Musang King itu dibenarkan untuk dieksport ke China dalam pertemuannya dengan pemimpin utama negara tersebut.

“Pembangkang menuduh dan membuat fitnah terhadap lawatan saya ke China kononnya saya telah menjual kedaulatan negara namun kunjungan saya itu membuahkan kejayaan dan memanfaatkan rakyat.

“Saya yang bertanggungjawab meminta durian Musang King dibenarkan untuk dieksport ke China. Kini, ramai pengusaha tempatan memperoleh keuntu­ngan besar dengan mengeksport buah itu pada harga melebihi RM100 sekilogram,” katanya.

Selain itu, kata Perdana Menteri, contoh lain seperti pembangunan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan tiga negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang juga bakal memanfaatkan petani, penternak dan nelayan dengan membolehkan golongan tersebut mengeksport pengeluaran mereka.

Jelasnya, pembangunan projek ECRL itu juga dijangka meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 1.5 peratus setahun di Pantai Timur.

Kata Perdana Menteri, dengan adanya sistem rel yang moden dan efisien, pendapatan petani, penternak dan nelayan juga boleh bertambah dan memberi lebih keuntungan kerana pengeluaran produk mereka tidak perlu melalui orang tengah.

“Sebab itu, Malaysia membuat hubungan baik dengan kuasa-kuasa ekonomi besar di dunia. Pembangkang tidak pernah menceritakan semua kebaikan ini, mereka hanya gemar menabur fitnah.

“Itu antara manfaat yang kita terima selain kebaikan yang lain. Saya juga percaya semua ini akan menjadikan sektor pertanian negara lebih menarik lagi,” katanya.