Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Jaya, Mohamad Wira Ibrahim berkata, pertandingan tersebut membantu menangkis sebarang bentuk usaha negatif anasir luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat.

“Pihak sekolah sangat mengalu-alukan program seperti yang diusahakan oleh Utusan Malaysia ini kerana hakikatnya apa sahaja bentuk program untuk mempromosikan perpaduan dan mengeratkan hubungan kaum di negara ini amat baik dan sewajarnya diteladani,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dengan tema muhibah, pertandi­ngan tajaan Orando Hol­dings itu menawarkan hadiah bulanan untuk empat pemenang berupa wang tunai RM1,000 setiap seorang.

Pertandingan video pendek berdurasi dua minit dengan pene­rangan tidak lebih 150 patah perkataan dalam bahasa Melayu itu berlangsung selama setahun mulai 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini.

Sementara itu, guru SMK Pandan Jaya, Sri Rahayu Mohd Yusop berkata, inisiatif Utusan Malaysia memperkenalkan pertandingan itu bertepatan dengan cita rasa pelajar yang gemar merakam gambar atau video melalui telefon bimbit mereka.

“Menerusi pertandingan ini, para pelajar boleh menyalurkan kreativiti mereka terhadap sesuatu yang lebih berfaedah menggunakan gajet mereka,” katanya.

Tambahnya, pihak sekolah menggalakkan pelajar menubuhkan pasukan masing-masing untuk menyertai pertandingan berkenaan dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memenangi hadiah yang ditawarkan.