P. Kamalanathan
P. Kamalanathan

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, pertandingan yang mencungkil kreativiti serta bakat pelajar menghasilkan reka bentuk poster menggunakan perisian Adobe merupakan usaha murni dalam menyahut hasrat Pendidikan Tek­nikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ingin melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Kementerian sangat menyokong usaha menganjurkan pertandingan ini kerana ia mencerminkan mutu pendidikan di sektor kerajaan mahupun swasta yang setaraf di negara ini.

“Ini kerana bilangan penyer­taan sangat kompetitif kerana seramai 600 peserta yang mengambil bahagian mewakili pelajar sekolah menengah, universiti awam, universiti swasta, kolej komuniti dan politeknik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan ACA 2017 peringkat kebangsaan serta Sea Connect: The Creative Conference di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Ace Star Sdn. Bhd., Natalie Sit; Pengarah Urusan Adobe Asia Tenggara, V.R. Srivatsan serta Ketua Pegawai Jualan Red One, Ben Teh.

Dalam majlis yang sama, kira-kira 650 pengamal serta pendatang baharu dalam industri kreatif menghadiri seminar yang bertujuan memberi pendedahan serta perkongsian tentang ilmu media kreatif.

Dalam pada itu, Natalie berkata, johan pertandingan bakal mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

“Kejohanan dunia akan diadakan pada 30 Julai hingga 2 Ogos di California, Amerika Syarikat dan kita akan menanggung segala perbelanjaan peserta di sana,” jelasnya.

Program berkenaan turut mendapat penajaan daripada syarikat telekomunikasi Red One.