Timbalan Perdana Menteri berkata, mana-mana pihak yang memegang jawatan menteri di Kementerian Pendidikan tidak seharusnya bertindak mewujudkan ‘legasi' baharu dalam kementerian berkenaan.

Jelas beliau, anak-anak ge­nerasi masa hadapan tidak seharusnya dijadikan bahan uji kaji dan menanggung beban setiap kali wujudnya perubahan dalam dasar pendidikan negara.

“Oleh kerana itu, dalam resolusi tadi saya sempat sarankan kepada kluster pendidikan supaya memasukkan saranan sesiapa sahaja yang menjadi Menteri Pendidikan tidak cuba mewujudkan legasi sendiri ketika menjadi menteri.

“Atas beberapa sebab kita dapat lihat dalam sektor pendidikan berlaku berbagai cacamar­ba, hingga akhirnya kita hilang identiti sendiri,” katanya ketika berucap pada penutupan Ijtimak Majlis Perundingan Islam Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengenai soal perundangan yang merupakan salah satu daripada kluster utama Majlis Perundingan Islam, Ahmad Zahid menasihatkan semua pihak supaya menerima segala keputusan mahkamah meskipun ada kalanya ia dilihat tidak memihak kepada agama Islam.

Jelas beliau, sikap kebersamaan penting dalam aspek agama Islam justeru perbezaan ‘warna’ dalam aspek politik harus dike­tepikan demi mencapai matlamat perjuangan Islam.

“Oleh kerana itu dalam Majlis Perundingan Islam, kita boleh duduk bersama, kita ada ketua kluster, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (Menteri Besar Perak) dan Datuk Dr. Mahfodz Moha­med (Ketua Dewan Ulama Pas).

“Persamaan ini adalah kerana politik digunakan untuk memperkuatkan agama dan bukannya agama digunakan untuk memperkuatkan politik,” kata­nya.

Terdahulu, Jamil Khir menggariskan antara 30 resolusi daripada tujuh kluster yang dicapai oleh Jawatankuasa Majlis Perun­dingan Islam melalui siri-siri mu­ltaqa yang dianjurkan sejak tahun lalu anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Kesemua resolusi yang melibatkan Kluster Pendidikan, Kluster Ekonomi, Kluster Sosial, Kluster Politik, Kluster Dakwah, Kluster Perundangan dan Kluster Pemikiran Islam itu akan dikemukakan kepada Kabinet.