Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra bertitah, institusi raja memiliki peranan dan tanggungjawab cukup signifikan dalam menentukan kestabilan dalaman sesebuah negara.

Dalam masa sama, baginda bertitah, institusi raja pada setiap ketika tidak boleh bersifat partisan dan perlu berkecuali dalam keadaan berlaku krisis supaya berupaya memberi teguran dan nasihat yang tidak berpihak.

“Ketika merangka formula membentuk kerajaan merdeka, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj amat menyedari bahawa sistem pemerintahan yang berpaksikan raja terlalu berharga dan terlalu bernilai dan wajib dipertahankan.

“Peranan dan institusi Raja semakin diperlukan untuk menjadi penenang kepada kekalutan, penyembuh kepada kesakitan dan penawar kepada kedukaan.

“Untuk itu amatlah penting untuk institusi raja berada di atas segala polemik untuk membolehkan ia berperanan secara adil dan saksama,” titah baginda di Majlis Penjawat Awam Persekutuan dan negeri Kelantan Bersama Pemangku Raja dan Ketua Setiausaha Negara di Hotel Perdana di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Nazran Mohammad dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahaya Mamat. - UTUSAN ONLINE