Program perkongsian ilmu anjuran Pusat Pengajian Sumber Manusia (Chrest) di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi) itu merupakan salah satu usaha untuk membolehkan modal insan negara terus kekal bersaing sekali gus memastikan kesejahteraan ekonomi negara sentiasa terpelihara.

Kira-kira 80 peserta tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada ahli akademik dan pelajar dijangka membentangkan kertas kerja penyelidikan mereka di samping penganjuran forum yang menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Michael Yeoh dan Prof Adjung Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM, Mocahel Warren, esok.

Pengerusi Bersama Persidangan itu, Datuk Jefridin Atan berkata, perjalanan membangunkan modal insan yang terbilang bukanlah sesuatu yang mudah dan Malaysia tidak mempunyai banyak pilihan untuk melangkah sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri dalam menuju gagasanTransformasi Nasional 2050 (TN50).

“Semoga kertas kerja yang dibentangkan nanti dapat menjadi panduan dan rujukan pihak berkepentingan dalam pembangunan modal insan agar segala aspirasi yang diilhamkan oleh kita semua menjadi realiti.

“Modal insan dengan nilai luhur yang diterapkan melalui pendidikan, sebuah masyarakat yang memiliki minda kelas

pertama, berilmu pengetahuan, berdaya saing, berpencapaian tinggi, berintegriti dan mempunyai moral tinggi adalah ciri masyarakat yang diidamkan oleh Tun Abdullah selaku Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya ketika berucap dalam pembukaan persidangan itu di Hotel TH di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Bersama Persidangan itu, Prof. Madya Dr. Rasidah Arshad di samping bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan pensyarah Lancaster University Management School United Kingdom, Prof. Emeritus Paul Sparrow.

Terdahulu, Syed Hamid dan Sparrow turut menyampaikan ucaptama sempena persidangan itu.

Sementara itu, Syed Hamid berkata, penganjuran program itu amat tepat bagi membantu negara memikirkan masa depan modal insan akan datang sekali gus membuat persedian rapi yang bakal mengubah keseluruhan sistem pengeluaran, pengurusan dan tadbir urus.-UTUSAN ONLINE