Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, persidangan yang dijangka bakal diadakan sebelum penghujung September ini akan melibatkan peserta bersesuaian dan semua kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya telah dihubungi oleh Institut Pengajian Lanjutan Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS) yang menawarkan diri untuk menganjurkan persidangan tersebut kerana telah banyak melakukan kajian perundangan syariah melalui Pengasas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Professor Mohammad Hashim Kamali.

“Perkara pertama yang akan saya buat apabila kembali bekerja pada hari Rabu ini ialah melihat sekiranya terdapat ruang untuk kita buat persidangan meja bulat melibatkan semua pihak untuk memberikan pandangan.

“Dari situ, kita akan keluarkan pandangan kita secara lebih akademik. Sekurang-kurangnya, ia boleh menjadi resolusi awal untuk kita bagi tahu kepada negeri, cadangan dan pandangan kita,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bencana ribut kepada 41 keluarga di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Piandang di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE