Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abd. Rahman berkata, ketika ini persiapan di khemah atau kawasan yang diperuntukkan kepada Malaysia sedang giat dijalankan dan sudah 20 peratus siap.

“Di Arafah, rangka-rangka untuk membina khemah sudah mula dipasang dan kita yakin akan dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas meninjau ketiga-tiga lokasi tersebut di Arafah, Mudzalifah dan Mina hari ini.

Dalam tinjauan sekitar tiga jam itu, Syed Saleh diberikan penerangan oleh Pengarah Ope­rasi Masyair, Mohd. Nober Kassim berhubung kerja-kerja persiapan yang dilakukan oleh Tabung Haji dan Muassasah Asia Tenggara.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin; Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Saiful Azlan Shariff dan pengarah-pengarah operasi Tabung Haji di sini.

Mengulas lanjut Syed Saleh berkata, selain memasang khemah, ada juga khemah jemaah sedia ada diperbaiki termasuk menggantikan pendingin hawa.

“Kita ada 12 hari lagi untuk persiapan sebelum seluruh jemaah Malaysia bertolak ke Arafah dan kita yakin tidak akan berhadapan dengan masalah,” katanya.

Beliau berkata, Tabung Haji melalui Bahagian Operasi Masyair akan memantau persiapan yang dilakukan.

Sementara itu, sehingga hari ini 16,160 jemaah haji Malaysia berada di tanah suci.

Daripada jumlah itu, seramai 16,082 orang berada di sini manakala di Madinah (78 orang). Pada tahun ini seramai 22,320 jemaah Malaysia akan menunaikan ibadah tersebut.