KRISDAYANTI

Bakal beraksi dalam konsert solo yang pertamanya di pentas berprestij, Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga malam bermula 24 Februari ini, Krisdayanti mengakui, debarannya semakin kencang.

Kata Krisdayanti, amat sukar baginya menyembunyikan rasa gementar memandangkan peluang beraksi di Istana Budaya bukan suatu tugas yang harus dipandang mudah.

Apa lagi bagi penghibur luar sepertinya yang tentu sekali mengundang harapan yang tinggi daripada pencinta-pencintanya dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya akui agak berdebar untuk menghadapi konsert ini. Bagaimanapun, Alhamdulillah sehingga kini persiapan berjalan lancar. Saya sudah memberikan perhatian pada segenap aspek bagi memastikan kejayaan persembahan itu,” katanya kepada Utusan Online dalam satu temubual hari ini.

Menurut penyanyi yang juga rakan baik Datuk Siti Nurhaliza itu, setiap hari dia akan menjalani latihan kemantapan vokal selama sejam melalui aplikasi di telefon pintarnya.

Sementara untuk memastikan dia memperoleh stamina yang baik, Krisdayanti meluangkan masa sejam pada setiap hari melakukan senaman.

KRISDAYANTI
 

Konsert Romansa Krisdayanti akan berlangsung pada 24, 25 dan 26 Februari ini dengan menampilkan pemuzik ternama Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik.

Krisdayanti turut mengundang dua artis ternama tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan Ning Baizura sebagai penyanyi undangan pada konsert berkenaan.

Penyanyi popular itu juga bakal menampilkan segmen khas mengenang Penghibur No. 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dalam konsert berkenaan.

Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert Romansa Krisdayanti yang berharga RM118, RM258, RM358, RM458 dan RM588 kini sedang dijual. - UTUSAN ONLINE