Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Wonderland, Seow Cheng Swee berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 6,000 pengunjung akan datang ke taman tema itu pada Sabtu ini bagi menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan menerusi program anjuran bersama Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia itu.

Menurut beliau, enam buah khemah khas disediakan kepada pengunjung untuk berehat dan berkumpul dan pada masa yang sama banyak acara disediakan kepada pengunjung antaranya 10 aktiviti gelongsor yang disediakan.

"Melaka Wonderland yakin program yang julung-julung kali diadakan ini mendapat sambutan pengunjung dan kami yakin kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Selain menyediakan pelbagai acara, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan konsert artis tempatan antaranya Sufian Suhaimi, Ani Maiyuni, Roslan Shah, Adzrin dan Zynakal," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Pada Sabtu ini, orang ramai berpeluang memeriahkan Konsert Mini Kumpulan Utusan yang menyediakan barisan artis popular tempatan selain penganjuran beberapa pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan studio pameran. - UTUSAN ONLINE