Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mej. Jen. (B) Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, pembinaan hotel itu yang akan dibangunkan di tapak ibu pejabat PPM sedia ada dijangka dapat dimulakan selewat-lewatnya pada 2021.

“Ibu pejabat PPM ini telah berumur lebih 50 tahun. Jadi kita mahu mengikut arus pembangunan kerana keadaan sekeliling juga sudah membangun. Kita akan robohkan bangunan sedia ada ini dan bangunkan hotel 30 tingkat.

“Sekarang, kita dalam proses pindah milik tanah dan memperbaharui lesen tanah. Pelan telah disiapkan dan kita telah mengenal pasti kontraktor berwibawa, apabila kertas kerja semua siap, kita akan mula bina hotel tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Bengkel Pemfailan Standard PPM di sini, baru-baru ini.

Menurut Mohd. Zin, hotel itu nanti akan turut menempatkan Muzium Pengakap Negara yang akan mempamerkan segala barangan dan dokumen bersejarah mengenai pengakap Malaysia.

“Saya yakin apabila hotel ini siap dan mula beroperasi, ia akan menjadi tarikan pelancong terutama kepada pengakap-pengakap dari seluruh dunia.

“Untuk makluman, Ibu Pejabat Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) kini berada di Brickfields, Kuala Lumpur. Setiap bulan pegawai-pengawai pengakap dari seluruh dunia akan bermesyuarat di situ. Sudah tentu apabila mereka datang ke Ibu Pejabat WOSM, mereka juga akan datang ke hotel PPM dan Muzium Pengakap Negara,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Zin berkata, PPM melalui pelan transformasinya akan turut membina Akademi Pengakap Negara di tapak Kem Pengakap Bagan Lalang, Selangor bermula empat tahun dari sekarang.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk membangunkan kurikulum akademi tersebut dengan bantuan sebuah unversiti tempatan dan Institut Latihan Pengakap Australia (SAIT).

“Kita ada banyak ilmu pengakap serta bahan dan kajian akademik yang dikeluarkan oleh Biro Pengakap Dunia (WSB) mengenai latihan kepimpinan, pembangunan belia, psikologi belia dan sebagainya.

“Bahan-bahan akademik ini akan dijadikan kurikulum Akademi Pengakap Negara dan melalui akademi ini, kemungkinan kita akan mengeluarkan Diploma Kepimpinan Belia,” katanya. - UTUSAN ONLINE