Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Mohd. Jamalludin Kasbi berkata, pos penempatan yang terlibat ialah Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Gob yang merangkumi 20 buah kampung.

Katanya, pihak Jakoa kini dalam usaha menggerakkan bantuan untuk mengangkut pelajar terlibat menggunakan bantuan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam masa terdekat.

“Pelajar yang tinggal di beberapa asrama di sekitar bandar ini masih lagi tidak dapat meneruskan sesi persekolahan pada minggu pertama.

“Pihak jabatan cuba masuk mengambil pelajar menggunakan kenderaan pacuan empat roda, namun jambatan runtuh dan jalan balak rosak teruk menyebabkan kita tidak dapat sampai di kawasan perkampungan berkenaan.

“Ketika ini pihak jabatan sedang menguruskan khidmat helikopter Unit Udara JBPM untuk mengangkut mereka secepat mungkin agar mereka boleh meneruskan sesi pembelajaran yang tertangguh,” katanya selepas menyampaikan bantuan barang­an keperluan harian kepada 73 keluarga masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Nik Man Nik Ya.

Mohd. Jamalludin berkata, ketika bah kuning melanda ne­geri ini pada penghujung Disember 2014, pihaknya juga menggunakan khidmat helikopter JBPM untuk mengangkut kira-kira 500 pelajar.

Menurutnya, pada 30 Disember lalu, seramai 300 penduduk Orang Asli di Kampung Pasir Linggi telah terperangkap apabila hujan lebat menyebabkan jalan perhubungan mereka untuk ke bandar terputus.

“Kita memberi bantuan kepada penduduk ini dan pada 3 Januari lalu, kita menyampaikan bantuan awal kepada penduduk Orang Asli,” katanya.