Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isa Usuludin berkata, kira-kira 77,000 pemandu teksi yang bernaung di bawah persatuan tersebut menolak pelaksanaan Program Transformasi Industri Teksi (TITP).

Beliau turut mendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah gagal menjaga kepentingan pemandu teksi kerana lebih mengutamakan perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar.

“Kami mahukan keadilan untuk semua pemandu teksi yang mencari rezeki di negara ini, adalah lebih baik teksi Uber dan GrabCar diharamkan kerana jelas perkhidmatan tersebut melanggar undang-undang negara seperti Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Wakil kita juga telah menghantar surat kepada pejabat Perdana Menteri bagi memaklumkan bahawa pada tarikh tersebut persatuan-persatuan teksi akan menghantar memorandum berhubung perkara yang telah dinyatakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Zailani, semua persatuan teksi dari seluruh negara juga sebulat suara membuat keputusan membantah kebenaran yang diberikan oleh Kabinet untuk SPAD menyediakan peraturan-peraturan bagi menyesuaikan perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar di negara ini.

“Kami tidak pernah membantah atau menolak kemajuan teknologi, tetapi dalam hal ini kemajuan teknologi telah disalahgunakan oleh pemilik aplikasi Uber dan GrabCar dengan menyediakan kemudahan tersebut kepada kenderaan persendirian dan pemandu yang tidak sah.

“Sejak perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar diperkenalkan, kesemua pemandu teksi berdepan masalah pendapatan berkurangan sehingga 65 peratus. Perkara ini tidak boleh berlarutan dan kerajaan perlu menyelesaikan segera isu ini agar tidak berpanjangan,“ katanya.

Mengulas mengenai penolakan TITP, Zailani berkata, program yang diperkenalkan SPAD itu tidak memberi manfaat kepada industri perkhidmatan awam dan warga teksi secara keseluruhannya malah sebanyak 11 inisiatif yang dicadangkan juga tidak mampu menaik taraf mutu perkhidmatan teksi selagi Uber dan GrabCar tidak diharamkan.

“Inisiatif yang dicadangkan SPAD itu hanya akan menjadikan industri bercelaru dan mewujudkan ketidakseimbangan, kami juga berpendapat SPAD tidak telus dalam melaksanakan TITP kerana lebih kepada agenda untuk merealisasikan Uber dan GrabCar,“ jelasnya.

Ends