Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw merupakan anak Iban pertama mencapai status Jeneral tiga bintang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd. Zain sebagai Panglima Medan Timur ketiga.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi berkata, persaraan tersebut suatu lumrah di mana mereka yang berkhidmat akan ada penghujung.

Katanya, selama 41 tahun, empat bulan dan 23 hari tempoh perkhidmatan Stephen merupakan masa yang panjang.

“Pelbagai peristiwa ditempuhi seperti menentang komunis membuatkan beliau penuh pengalaman dan memegang beberapa jawatan penting staf dan kepimpinan.

“Justeru, bagi membalas jasa beliau warga PMT khususnya perlu berkhidmat dengan cemerlang agar meneruskan legasi beliau tinggalkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Serah Terima Tugas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMT TD) di Padang Kawad, Kem Muara Tuang, di sini sebentar tadi.

Serah tugas
AHMAD Hasbullah Mohd Nawawi menyaksikan Serah Terima Tugas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Padang Kawad, Kem Muara Tuang, Kota Samarahan sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

Upacara serah terima tugas itu melalui perbarisan, Nota Serah Terima Tugas dan penyerahan Tongkat Kuasa serta Bendera PMT disaksikan Ahmad Hasbullah.

Sementara itu, Stephen ketika ditemui memberitahu, pesanan beliau kepada anggota yang akan meneruskan perjuangan agar berkhidmat penuh komitmen, dedikasi dan integriti.

“Apa saja perkara dibuat perlu fokus dan dibuat sebaik-baiknya bukannya menjalankan tugas seperti melepaskan batuk di tangga.

“Itulah prinsip dipegang sepanjang perkhidmatan saya yang boleh dijadikan panduan untuk anak-anak muda meneruskan perkhidmatan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE