Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, penduduk kawasan itu cukup bertuah apabila dapat menikmati pelbagai pembangunan serta kemudahan.

Beliau merasa sangat gembira apabila hasil perjuangannya untuk mewujudkan sebuah perpustakaan desa yang lebih besar, selesa dan sempurna di kawasan itu akhirnya tercapai.

‘‘Perpustakaan desa ini hanya sementara dan sebuah perpustakaan cawangan baharu bakal diwujudkan dalam bajet yang akan datang.

“Saya berharap, perpustakaan cawangan baharu yang difahamkan bernilai lebih RM8 juta itu akan menjadi realiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Perpustakaan Desa Tanah Merah dan Karnival Membaca 2018 ‘Membaca Transformasi Jiwa Bangsa’ di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Nafisah Ahmad; Pengarah Prasarana Ilmu dan Maklumat Perpustakaan Negara, Rosham Abd. Shukur, Pengarah Bahagian Pembangunan dan Perpustakaan Desa, Mohd. Azmi Aziz dan Pegawai Pembangunan Jajahan Tanah Merah, Mohd. Azlisham Abd. Rahman.

Sementara itu, Nafisah berkata, penduduk Tanah Merah cukup bertuah kerana mempunyai seorang wakil rakyat yang begitu prihatin dalam menyediakan prasarana pendidikan anak-anak di kawasan itu.

“Saya berharap, orang ramai dapat menggunakan perpustakaan desa ini secara optimum untuk menimba ilmu pengetahuan. Perpustakaan cawangan baharu bernilai RM8 juta itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan,” katanya.