Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu amat penting dalam usaha memastikan generasi pelapis negara menjadi masyarakat bermaklumat menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50).


Menurutnya, bagi mencapai hasrat itu, beliau akan membantu dengan mendapatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan pusat bagi mendigitalkan semua perpustakaan awam terlibat.


“Proses untuk memperoleh maklumat bukan hanya harus dilakukan melalui saluran pendidikan formal di sekolah-sekolah yang ada tetapi pelajar harus memperoleh maklumat dari sumber lain maka sudah tentu mendigitalkan perpustakaan adalah yang baik yang perlu dilakukan oleh Perpustakaan Negara.


“Oleh yang demikian, saya menyeru syarikat-syarikat korporat iaitu syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membantu Perpustakaan Negara dengan menjadikan perpustakaan-perpustakaan ini sebagai anak angkat bagi melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mendigitalkannya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek Perpustakaan Digital Bagan Datuk yang merupakan perpustakaan digital pertama di negara ini di Dataran Aman Jaya Bagan Datuk di sini hari ini.


Yang turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin. - UTUSAN ONLINE