Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin tidak menolak kemungkinan pihak berkenaan ia­itu penganjurnya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sengaja merancang berbuat demikian untuk menguji sejauh mana umat Islam dan Melayu bersatu dalam sesuatu isu.

Ini kerana kata beliau, adalah sesuatu yang kurang bijak untuk mengadakan perhimpunan lain pada masa berkenaan dan sehubungan itu, menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya.

“Kerajaan tidak menghalang perhimpunan (#DaulatHimpunan812). Mereka mungkin ada sesuatu yang dirancangkan atau cuba test market (menguji),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hashim diminta mengulas langkah Suhakam menganjurkan himpunan merka pada hari sama dengan perhimpunan #DaulatHimpunan812 yang seolah-olah sengaja ingin mencetuskan provokasi.

Difahamkan, sejak Suhakam ditubuhkan di negara ini pada 1999, sambutan Hari Hak Asasi Manusia hanya diadakan pada 10 Disember setiap tahun atau lewat sehari dua selepas tarikh itu selain bukannya secara terbuka.

Hashim seterusnya percaya bahawa terdapat pihak yang merasa ‘gerun’ dengan penya­tuan dan perpaduan antara dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas ketika ini.

Malah ujar beliau, pihaknya juga percaya berikutan penya­tuan itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa menangguhkan usaha meratifikasikan ICERD.

“Saya rasa 'terlampau' perlu perhimpunan ini dihadiri seberapa ramai orang tanpa mengira parti, malah ada juga suara bukan Islam yang menyokong perpaduan ini. Saya ingin mengambil kesempatan menyeru kepada masyarakat Islam tanpa mengira fahaman politik supaya turun beramai-ramai pada perhimpunan nanti. Kita berhimpun secara aman bukan hendak bergaduh,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, menerusi beberapa perhimpunan membantah ICERD yang disertai sebelum ini, kesemua­nya berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.