Ketika merangkumkan cadangan dan aspirasi yang dikemukakan pada sesi dialog yang disifatkannya sangat memberangsangkan itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau membayangkan pembentukan sekolah kebangsaan yang mewujudkan perpaduan.

“Antara ciri sekolah itu adalah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, memperkasakan Bahasa Inggeris, menjadikan bahasa Tamil, Cina dan Arab sebagai subjek pilihan serta menyediakan pendidikan berkualiti dan mempunyai komposisi guru dan murid pelbagai kaum,” katanya.

Najib menegaskan bahawa bukan beliau mengemukakan cadangan berkenaan tetapi ingin membayangkan ciri sekolah yang mewujudkan perpaduan bermula dari sekolah. Katanya, perkara itu cukup sensitif kerana ia merupakan ‘’ranjau politik’’ disebabkan Malaysia mempunyai sistem sekolah aliran yang berbeza.

“Boleh tidak kita terima model sekolah ini, ini kita sama-sama fikirkan. Saya bukan hendak cadangkan, saya bayangkan sebab semua orang sebut mahu perpaduan dan mesti bermula di sekolah. Kita mahu penyelesaian. Ini kita kena fikir sebab segala-galanya bermula dari sekolah.

“Bukan kita hendak putuskan hari ini, tetapi saya bayangkan. Apa penyelesaiannya. Bukan kita hendak tutup sekolah Cina atau sekolah Tamil tetapi memilih satu sekolah kebangsaan,” katanya.

Dalam sesi dialog yang melibatkan kira-kira 1,300 penjawat awam muda, antara aspirasi yang dikemukakan ialah menekankan perpaduan melalui pendidikan dengan membina sekolah satu aliran yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar serta memperkasakan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa Tamil dan Cina.

Turut disuarakan ialah keseimbangan kerja dan keluarga agar waktu bekerja mempunyai had maksima agar penjawat awam tidak diikatkan dengan kerja di pejabat sehingga mengorbankan masa untuk bersama dengan anak dan keluarga.

Turut diutarakan ialah berhubung kemampanan dalam aspek perkhidmatan kesihatan.

Menurutnya, kos RM1 untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti kerajaan adalah tidak mampan memandangkan kerajaan membelanjakan RM21 hingga RM22 bilion setahun dalam industri kesihatan tetapi hanya memungut antara RM400 juta dan RM500 juta walaupun perkhidmatan kesihatan Malaysia adalah yang terbaik di dunia.

Dalam contoh pengalaman Razali Tompang yang hanya perlu membayar RM31.80 bagi rawatan kanser bapanya di Hospital Kuala Lumpur berjumlah RM11,000, beliau berkata “Mana ada rawatan kanser yang dikenakan caj semurah itu”.

Isu pengangkutan awam turut menarik perhatian pada sesi dialog itu apabila seorang penjawat awam berkata beliau tidak lagi mahu melihat masalah kesesakan lalu lintas membelenggu Malaysia pada 2050.

Najib berkata aspek pengangkutan awam sememangnya diberi tumpuan oleh kerajaan dengan pelbagai projek sedang dilaksanakan.

“MRT (Mass Rapid Transit) fasa pertama sepanjang 51km siap Julai ini dan saya dapat bayangkan dalam masa beberapa tahun lagi tiga fasa MRT siap. Pengangkutan awam berkelas dunia adalah komitmen kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata segala pandangan yang disuarakan sangat berguna untuk dijadikan input bagi meneruskan visi baharu untuk Malaysia. - BERNAMA