Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan, penerbitan secara rundingan terus untuk dua buku teks DLP iaitu Science Year 3 dan Mathematics Year 3 termasuk cetakan semula 266,110 naskhah telah diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kata kenyataan itu lagi, perkara tersebut selaras keputusan Majlis Tindakan Negara 1974 iaitu DBP dipertanggungjawabkan menerbitkan buku teks sekolah rendah.

"Bagi penerbitan untuk buku DLP sekolah menengah iaitu Science Form 3 dan Mathematics Form 3 iaitu 108,680 naskhah pula, diuruskan penerbitannya secara tender terbuka oleh pihak kementerian.

"Oleh itu, tidak benar sama sekali tanggapan bahawa semua penerbitan buku teks DLP, terutama melibatkan penerbit swasta dilaksanakan secara rundingan terus," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Selain itu, kenyataan menjelaskan siaran media Kementerian Kewangan Malaysia pada 13 Januari lalu adalah merujuk kelulusan membuat rundingan terus dengan DBP bagi menerbitkan buku teks DLP sekolah rendah (baharu dan cetak semula).

Tambah kenyataan sama lagi, buku teks DLP untuk sekolah menengah, proses penerbitan dibuat secara tender terbuka oleh pihak kementerian.

"Justeru itu bagi tender terbuka untuk buku Science Form 3 dan Mathematics Form 3 (sekolah menengah) iklan telah dikeluarkan di portal e-Perolehan seperti amalan biasa. 

"Proses pemilihan tender telah dijalankan secara telus dengan pembabitan tiga jawatankuasa iaitu Penilaian Bahan, 
Penilaian Keupayaan Penerbit/Syarikat dan Penilaian Harga yang ditawarkan oleh petender," kata kenyataan sama lagi.

Kesemua markah diperoleh daripada ketiga-tiga jawatankuasa itu dipertimbangkan Lembaga Perolehan terdiri daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan selaku pengerusi dan tiga setiausaha bahagian kementerian dan wakil Kementerian Kewangan Malaysia serta Jabatan Kerja Raya.

"Kesemua proses tender tersebut telah dilaksanakan dengan telus dan berintegriti," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu sebagai mengulas Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM) yang menggesa kerajaan memperhalusi semula pemberian tender kepada syarikat penerbitan dan percetakan buku teks di semua sekolah negara ini.-UTUSAN ONLINE