Permudah eksport empat barang
Salahuddin Ayub

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak itu bertujuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi serta protokol ketat melibatkan barangan-barangan tersebut ketika ini.

“Pada pertemuan singkat dengan Duta China ke Malaysia pada bulan lalu, beliau telah menyatakan kesediaan untuk memudahcara eksport Malaysia ke negara tembok besar itu dan mengurangkan kerenah birokrasi kedua-duan negara.

“Sebagai contoh, ketika ini, durian Musang King kita boleh hantar ke China dalam bentuk ulas sahaja, kalau dalam bentuk biji tidak boleh. Oleh itu, kita harap perkara ini dapat dipermudahkan usaha melonjakkan pasaran ke negara itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan exco-exco pertanian negeri yang antara lain membincangkan tentang isu keselamatan makanan dan ternakan.

Salahuddin berkata, lawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke negara tembok besar itu dalam masa terdekat ini diharap dapat menandatangani perjanjian berkaitan protokol-protokol eksport melibat keempat-empat barangan tumpuan berkenaan.

Sementara itu, beliau menambah, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) akan diteruskan dan akan dilangsungkan pada 22 November hingga 2 Disember ini.

Antara aspek yang menjadi penekanan pada pameran dwitahunan itu kata beliau adalah perkembangan teknologi dalam pertanian serta usaha menjadikan Malaysia sebagai hab halal makanan.

“Pasaran di China adalah besar dan dinamik. Jadi MAHA kali ini akan giat mempromosikan durian kita.

“Kalau lebih banyak pelancong kita datang untuk merasa Musang King, saya percaya kita boleh membawa industri durian kita ke peringkat antarabangsa termasuk ke China tanpa halangan,” katanya.

Berhubung mesyuarat itu, Salahuddin menjelaskan, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri adalah penting dalam memastikan tidak wujud sebarang halangan pentadbiran sehingga merencatkan proses bantuan, pinjaman dan elaun ke golongan sasar. - UTUSAN ONLINE