Ketua Pegawai SIP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Mohd. Sahar Darusman berkata, mulai 1 Januari 2019, pihaknya telah melaksanakan SIP Faedah Penuh bagi menggantikan Bantuan Interim Sistem Insurans Pekerjaan.

“Perkeso juga telah membangunkan sistem pemprosesan faedah SIP melalui Portal Faedah SIP. Semua permohonan yang telah dibuat secara manual atau melalui sistem faedah interim sebelum 31 Disember 2018 terpaksa dibuat semula melalui portal baharu ini bagi permohonan yang layak untuk faedah penuh SIP.

“Permohonan pengadu yang diterima pada 3 Disember 2018 memerlukan siasatan dari segi status kehilangan pekerjaan dan pengesahan syarat kelayakan caruman yang telah dibayar penuh oleh pihak majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai memberi maklum balas terhadap aduan bertajuk ‘SIP: Banyak karenah birokrasi?’ yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, jelas Mohd. Sahar, pengadu telah dipanggil semula ke Pejabat Perkeso Negeri Sembilan bertujuan untuk membuat penilaian pekerjaan melalui Program Penempatan Pekerjaan Semula bagi memenuhi syarat bahawa pemohon boleh bekerja, bersedia untuk bekerja dan akan mencari kerja secara aktif.

“Perkeso secara telus sentiasa memberi maklumat berhubung SIP kepada orang yang berkepentingan terdiri daripada majikan dan semua pekerja dengan mengadakan sesi taklimat dan jerayawara ke seluruh negara. Ini termasuk sesi libat urus khas kepada majikan yang ingin memberhentikan pekerja mereka.

“Tidak semua pencarum yang memohon layak menerima faedah SIP kerana setiap permohonan perlu disahkan status kehilangan pekerjaan dan mesti memenuhi syarat kelayakan caruman,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap pemohon juga perlu boleh bekerja, bersedia untuk bekerja dan akan mencari kerja secara aktif sebagai mana ditetapkan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017. - UTUSAN ONLINE