Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, pihaknya menyediakan peruntukan keseluruhan pinjaman sebanyak RM200 juta bagi 2018 kepada usahawan PUNB yang layak daripada pelbagai sektor perniagaan.

Menurutnya, jumlah tersebut sama seperti peruntukan yang disediakan pada 2017 bertujuan membantu para usahawan kecil dan sederhana memperoleh modal permulaan perniagaan baharu atau menambah modal perniagaan sedia ada.

“PUNB bagaimanapun sedang melihat keperluan untuk menambah peruntukan pinjaman itu tahun depan kepada satu jumlah yang belum ditetapkan.

“Ada kemungkinan ia boleh ditambah namun kita sedang mengkaji jumlah yang sesuai mengikut keperluan serta permintaan daripada para usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ali Rustam Club (ARC) di Kota Fe­syen, Ayer Keroh di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden ARC, Mohd. Hairul Yusof.

Jelas Mohd. Ali, sehingga November tahun ini, sebanyak hampir 550 usahawan dari seluruh negara telah menerima pinjaman perniagaan daripada PUNB de­ngan nilai keseluruhan mencecah RM177 juta.

“Kita ada baki kira-kira RM23 juta lagi dan pinjaman itu masih diteruskan yang saya jangka ia dapat dihabiskan menjelang 31 Disember ini,” ujarnya.

Tambah Mohd. Ali, beliau juga berpuas hati kerana 90 peratus peminjam berjaya membayar semula pinjaman berkenaan de­ngan 70 peratus daripadanya membayar mengikut jadual di­tetapkan.

“Hanya 30 peratus peminjam gagal membayar semula mengikut jadual dan ia satu petunjuk bahawa sebilangan besar usahawan PUNB berjaya meraih keuntungan dalam perniagaan mereka,” ujarnya.

Sementara itu katanya lagi, ARC yang ditubuhkan sejak ming­gu lalu berfungsi sebagai kelab sukarelawan untuk membantu golongan sasaran yang memerlukan di negeri ini.

“Sehingga kini ARC telah berjaya menarik minat 700 ahli yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan belia,” jelasnya.