Hasil tinjauan Utusan Malaysia mendapati harga ubi kayu dan ubi keledek mencecah RM250 hingga RM300 bagi setiap 100 kilo­gram (kg), manakala harga ubi itik dijual dengan harga RM600 dan ubi badak RM500.

Seorang peniaga ubi, Ramzi Ismail, 24, dari Kampung Kemuning di sini berkata, ubi kayu dan keledek adalah paling laris berbanding ubi lain kerana mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengusaha kuih tradi­sional.

Menurutnya, tawaran harga lebih rendah hanya diberikan kepada mereka yang membuat pembelian secara borong dalam kadar yang banyak terutama pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

“Bagi pelanggan biasa ubi kayu dan ubi keledek dijual dengan harga RM2.50 untuk sekilogram, ubi itik RM6 sekilogram dan ubi badak pula RM5 sekilogram.

“Kebanyakan hasil ubi yang dijual di laluan utama perjalanan Kota Bharu - Machang - Kuala Lumpur diusahakan petani dari Bachok,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini hari ini.

Ramzi berkata, harga ladang bagi pembelian borong dalam kalangan peniaga adalah lebih murah berbanding harga jualan runcit.

Menurutnya, kuih putu halba yang mana ubi kayu adalah bahan utama pembuatannya dijual setiap kali musim hujan pada hujung tahun membuatkan tanaman itu mendapat permintaan tinggi.