Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek berkata, kerajaan menetapkan sasaran pengeluaran sarang burung walet mencecah nilai RM4.5 bilion menjelang 2020.

Beliau berkata, ketika ini, ke­seluruhan pengeluaran sarang burung walet negara adalah bernilai RM400 juta.

“Eksport keseluruhan sarang burung walet negara dalam bentuk mentah bersih pada masa ini pula adalah bernilai RM89 juta.

“Ketika ini, kementerian sedang aktif mempromosi sarang burung walet kepada industri hiliran dan huluan, selain menggalakkan barangan nilai tambah,” katanya ketika melawat pameran produk sarang burung walet di Laman Burung Walet sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan (MAHA) 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia di Serdang, Selangor dekat sini hari ini.

Nogeh berkata, kerajaan juga telah menandatangani perjanjian protokol baharu penjualan sarang burung walet bagi meningkatkan ekport bahan tersebut.

“Ketika ini, kita mengeksport 16 tan sarang burung walet dalam bentuk mentah bersih ke China.

“Perjanjian protokol baharu ini membolehkan kita mengeksport dalam bentuk mentah kasar ke negara itu dan pada masa sama meningkatkan jumlah eksport bahan ini,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, pengeluaran sarang burung walet terba­nyak adalah dari Pe­rak, Kelantan dan Terengganu.