Penaungnya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ibu bapa merupakan tonggak utama dalam memacu kejayaan anak-anak Permata.

“Bakat mereka tidak harus terhenti semasa zaman remaja, kerana Permata Seni memberi ruang untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya ingin dunia melihat dan kagum dengan bakat yang anak-anak ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Penetupan Seni Tari dan Koir bil. 1/2018 di Hotel Flamingo, Ampang.

Dalam majlis yang sama, Rosmah turut menyampaikan sijil kepada ahli Permata Seni yang mencapai keputusan cemerlang dalam sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Tan Sri Norliza Rofli berkata, program Permata Seni prihatin terhadap potensi dan masa hadapan kanak-kanak.

“Setiap tahun pelbagai program diadakan sejajar dengan matlamat utama Permata Seni.

“Kem Permata Tari dan Koir bil. 1/2018 merupakan program di bawah bimbingan seni budaya JKKN yang dilaksanakan bagi menyerlahkan bakat kanak-kanak,” katanya.

Seramai 241 orang kanak-kanak terlibat dalam kem ini yang berlangsung 17 hingga 25 Mac ini. - UTUSAN ONLINE