Setiausaha Bahagian Permata, Datuk Saidatu Akhma Hassan berkata, program itu merupakan cetusan idea isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Permata dalam memberi pendedahan dan kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak di bawah umur empat tahun.

“Program ini tertumpu di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan pusat asuhan atau taska kanak-kanak dan ia menunjukkan perkembangan positif apabila kanak-kanak dapat menjalankan aktiviti mengikut kesesuaian umur dan kebolehan mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai permulaan, seramai 30 kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Chang Baru di sini terlibat dalam program tersebut yang diadakan selama dua hari sehingga esok.

Katanya, selain Permata, agensi pelaksana yang terlibat dalam program tersebut ialah Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Saidatu Akhma berkata, selain pembelajaran dan aktiviti untuk kanak-kanak, sukarelawan daripada Perkasa Remaja turut menjalankan aktiviti sokongan seperti penjagaan rambut, bersolek, penjagaan dan tatarias kuku serta kelas masakan khusus untuk golongan ibu bapa.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga turut mengadakan sesi ceramah berkongsi tips penjagaan kanak-kanak dan keibubapaan serta mereka juga boleh melakukan pemeriksaan kesihatan. –bernama

“Oleh yang demikian, kami dapat menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak serta masyarakat setempat dalam melaksanakan program sebegini sekali gus dapat memupuk tingkah laku kesukarelawan dalam pembangunan komuniti,” katanya.

Jelas beliau, sebanyak tujuh kawasan luar bandar telah dipilih dengan Kampung Chang Baru, di sini sebagai lokasi pertama selain Kampung Simpang Arang, Gelang Patah di Johor; Sungai Besar, Selangor; Bintulu, Sarawak; Keningau, Sabah; Felda Palong, Negeri Sembilan dan Padang Serai, Kedah.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Chang Baru, Alshaain Deraoh, 49, berkata penganjuran program itu memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai pembelajaran yang bersesuaian mengikut peringkat perkembangan awal kanak-kanak.

Alshaain turut berharap program itu akan dapat diteruskan pada masa hadapan terutama kepada masyarakat luar bandar khususnya Orang Asli.

“Ini kerana terdapat Orang Asli yang agak ketinggalan dari segi pembelajaran dan dengan adanya program sebegini ia turut memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai pentingnya pelajaran demi masa depan anak-anak.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi mengadakan program ini di perkampungan Orang Asli walaupun ia agak terpencil dari bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Rosni Seen, 35, menyifatkan program itu memberi manfaat kepada golongan ibu bapa sepertinya yang tidak mempunyai pelajaran tinggi untuk mengajar anak-anak seperti membaca dan menulis.

“Program ini sangat bagus walaupun pertama kali ia diadakan di sini kerana secara tak langsung kami sebagai ibu bapa tahu serba sedikit mengenai asas pembelajaran awal kanak-kanak.

“Ini kerana kami sedar tanpa pendidikan, anak-anak tidak mungkin akan berjaya sehingga ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA