Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, untuk tahun ini, pihaknya menyasarkan sebanyak 30 projek BDCP dengan penglibatan sebanyak 500 peserta, khususnya pe­ngusaha dalam pelbagai sektor dan mampu memberi purata pendapatan bulanan sehingga RM4,500 setiap seorang.

Beliau berkata, empat projek bio­teknologi di bawah program BCDP sedang dilaksanakan sehingga Mac tahun ini melibatkan 375 peserta iaitu dua projek tanaman cendawan serta masing-masing satu projek ternakan udang dan tanaman rumpai.

“Menerusi program ternakan lebah madu ini, kementerian memperuntukkan sejumlah RM100,000 kepada Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (Biotech) dan melantik syarikat Flora Bee Hive untuk kepakaran mereka dalam ternakan madu lebah dan akhirnya yang mendapat manfaat adalah ahli persatuan penternak lebah madu.

“Menerusi ternakan lebah madu ini iaitu satu projek di bawah Inovasi Sosial kementerian, peserta terbabit boleh menghasilkan madu lebah sehingga 10 kilogram setiap 45 hari bagi setiap kotak dan apa yang menarik, Flora Bee Hive akan membeli produk ini, sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Inovasi Sosial Mosti (MSI) pengeluaran madu lebah menerusi program BCDP kepada Persatuan Penternak Madu Lebah Komersial Kuala Linggi di Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Linggi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotech, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Flora Bee Hive Sdn. Bhd., Eric Tang.

Pada majlis itu, Abu Bakar menyampaikan 54 buah kotak berisi koloni lebah madu dan peralatan menternak lebah kepada lapan ahli Persatuan Penternak Madu Lebah Komersial Kuala Linggi untuk diusahakan.

Projek ternakan lebah madu itu dijalankan dengan usaha syarikat Flora Bee Hive iaitu syarikat peneraju utama ternakan lebah madu yang dilantik Biotech untuk melaksanakan program ternakan tersebut.

Menurut Abu Bakar, projek ternakan lebah madu ini bukan kali pertama dilaksanakan, sebaliknya Biotech akan terus melaksanakan program seperti ini membabitkan penyertaan lebih ramai peserta tempatan.

Katanya, menerusi langkah ini juga, kerajaan akan membantu peserta melalui teknik beli balik produk iaitu mengeluarkan geran kepada agensi kementerian untuk mengusahakan sesuatu projek dan pada masa sama, hasilnya akan diberikan kepada peserta.

“Melalui BCDP, kita memperuntukkan sejumlah RM10 juta geran kepada Biotech untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bioekonomi dan tidak terbatas kepada lebah madu sahaja, sebaliknya apa sahaja bidang teknologi biologi seperti ternakan ikan dan udang serta perusahaan herba.

“Malah, saya difahamkan teknologi lebah madu kini semakin mendapat permintaan yang tinggi kerana bahan daripada madu itu juga digunakan dalam penjagaan kulit dan matlamat kita untuk tingkatkan kualiti penggunaan produk melalui usaha nilai tambah,” katanya.