Contohnya, titah baginda, latihan industri (internship) bagi pegawai muda tentera dari universiti awam yang melibatkan Institusi Ketenteraan Luar Negara ataupun di bawah kelolaan Pejabat Atase Pertahanan Perwakilan Malaysia di luar negara. 


Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Santapan Malam Rejimental Ke-11 Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UniMAP Tahun 2018’ yang diadakan di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar baru-baru ini.


Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro Canselor dan anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.


Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.


Turut hadir ialah Panglima Latihan Tentera Darat Malaysia (TDM), Mej Jen Datuk Wira Md Tajri Alwi dan Panglima Markas Ke-30 Briged Infantri (30 Briged) TDM, Brig. Jen. Hashim Aman Shah.


Baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah TDM turut melihat kebaikannya dapat meningkatkan hubungan diplomasi ketenteraan.


“Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pertahanan boleh menimbangkan untuk mewujudkan program pertukaran dan latihan bersama di kalangan Pegawai-Pegawai Muda,” titah baginda.


Selain itu, menurut baginda, inisiatif itu juga mengeratkan hubungan jaringan antarabangsa dan pada masa yang sama memperluaskan lagi jaringan antarabangsa dalam pertukaran idea serta pengalaman ketenteraan dengan negara-negara yang lebih maju.


Baginda juga berpendapat, ia juga sebagai persediaan bagi membentuk keperibadian dan profesionalisme kepada bakal pegawai tinggi yang akan ditauliahkan.

“Kewujudan program mobiliti antarabangsa kepada pegawai-pegawai muda akan membentuk pembangunan minda mereka ke arah pemikiran global atau ’worldview’ sekali gus meningkatkan lagi kebolehoperasian dan kerjasama bersama negara lain di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Dalam pada itu seramai 116 Pegawai Muda UniMAP yang hadir ini telah berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) pada Istiadat Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-37 di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Ogos lalu yang disempurnakan sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis.