Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Aminudin Adam berkata, langkah itu adalah selaras dengan sasaran 50 koperasi sekolah di seluruh negara mendapat perolehan tersebut dalam tempoh berkenaan.

Kata beliau, kejayaan beberapa koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mencatat perolehan lebih RM1 juta setahun membuktikan koperasi sekolah mempunyai potensi cemerlang dalam perniagaan dan seharusnya dicontohi oleh sekolah harian, berasrama penuh serta kolej vokasional.

“Cara perolehannya mungkin menerusi jalinan kerjasama, umpamanya koperasi sekolah menengah A mendapat perolehan daripada koperasi sekolah menengah B dan seterusnya.

“Begitu juga dalam sekolah yang mana kerjasama boleh diwujudkan antara koperasi sekolah dengan pengusaha kantin. Mereka perlu mengelakkan persaingan dengan mencari jalan yang boleh mendatangkan keuntungan antara kedua-dua belah pihak seperti koperasi sekolah membekalkan bahan mentah termasuk tepung dan gula kepada pengusaha kantin yang menjualnya pula kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Jubli Emas Penubuhan Koperasi Sekolah yang turut dihadiri Pre­siden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah di sini hari ini.

Menurut Aminudin, dasar kerajaan adalah untuk melahirkan ramai usahawan dan usaha ke arah itu perlu dimulakan di peringkat sekolah dengan memastikan pelajar mendapat latihan keusahawanan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan membantu Angkasa menubuhkan koperasi sekolah dengan harapan supaya akhirnya pelajar celik dari segi keusahawanan dan perniagaan.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, banyak koperasi sekolah menunjukkan kemampuan dalam perniagaan sehingga perolehan mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit sekali gus menjadi penyokong serta pelengkap kepada kejayaan sekolah.