Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, langkah tersebut diharap dapat merangsang para guru bagi meningkatkan kompetensi diri mereka dan profesionalisme keguruan dari sudut ilmu serta kemahiran selain mengambil kira aspek pengalaman dan perkhidmatan mereka.

“iGuru menyambut baik apa yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan. Namun, iGuru melihat agar insentif itu tidak terhad kepada guru yang akan melanjutkan pengajian di peringkat MA atau PhD tetapi juga diberikan kepada semua guru yang memiliki MA dan PhD semasa dalam perkhidmatan.

“iGuru mencadangkan insentif ini diberikan dalam bentuk perubahan skim gaji baharu yang lebih baik bagi yang sudah memiliki MA atau PhD yang akan memulakan perkhidmatan sebagai guru dari pekeliling tahun 2013 dengan kenaikan tangga gaji yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, iGuru turut mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan tempoh perkhidmatan bagi guru yang memulakan tugas sebagai guru dan sudah memiliki MA dan PhD agar dipendekkan kepada lima atau enam tahun kepada Gred DG 44 sebagai hadiah bagi para guru.

“Manakala yang telah memiliki MA dan PhD semasa dalam perkhidmatan diberikan kenaikan dua kali Hadiah Kenaikan Gaji (HKG) secara tahunan mengikut tahap ijazah lanjutan mereka samada MA atau PhD,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE