Peguambela dan peguamcara, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, kenyataan akhbar oleh Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria hari ini telah menimbulkan lebih banyak persoalan yang memerlukan sebuah RCI ditubuhkan.

“Satu RCI perlu ditubuhkan bagi menyiasat sama ada Pejabat Peguam Negara telah melakukan salah laku yang serius yang telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara. Kita tidak boleh menipu semua orang dengan memberikan kenyataan media semberono seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairul Azam berkata, merujuk kenyataan media oleh Mohamad Hanafiah tersebut, beliau membuat kesimpulan bahawa kes Guan Eng dan Phang Li Koon tidak akan berjaya di akhir kes pendakwaan dan disebabkan itu beliau memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, sebagai seorang peguam, dia amat terkejut dengan lemahnya moral dan semangat juang pihak pendakwa raya dalam kes ini kerana pernah berpengalaman menentang pasukan pendakwa raya yang mempunyai semangat juang dan jitu dan walaupun mereka dalam kes berkenaan tidak mempunyai bukti kukuh.

“Terdapat 60 orang saksi, di maklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud akan di panggil untuk menjadi saksi pendakwaan dan setakat ini, baru 25 orang saksi pendakwaan telah dipanggil.

“Maka semestinya baru sekitar 40 peratus kes pendakwaan dibina dan ada lagi 60 peratus saksi masih belum memberikan keterangan. Bagaimana Mohamad Hanafiah boleh secara semberono membuat keputusan dalam keadaan lagi 35 orang saksi pendakwa masih belum memberikan keterangan?” soalnya.

Jelas Mohd. Khairul Azam lagi, menerusi kenyataan akhbar itu juga, Mohamad Hanafiah mengakui tidak memaklumkan hal untuk memulakan atau menamatkan pendakwaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain mengakui tidak pernah terlibat dengan kes tersebut sebelum ini.

“Oleh itu bagaimana beliau yang tak pernah terlibat dengan kes ini boleh membuat satu kesimpulan ‘kes lemah’ dalam keadaan beliau tidak pernah berkomunikasi dengan SPRM untuk memastikan keputusan beliau itu tepat?

“Lebih berbahaya apabila beliau mengaku curiga dengan integriti SPRM selaku agensi penyiasat dan bagaimana beliau yang tidak pernah terlibat dari awal mengendalikan kes ini boleh berbangga dengan konsep ‘fresh eye?” soalnya lagi. - UTUSAN ONLINE