Demikian antara pandangan yang disampaikan oleh beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan mereka di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

“Saya sampaikan pandangan Felda kepada Perdana Menteri bahawa FGV sebagai sebuah syarikat yang ada hubungan dengan kerajaan tentunya mesti menunjukkan amalan baik urus tadbir korporat yang begitu tinggi.

“Sebab itu kami tegaskan bahawa Felda sebagai pemegang saham yang terbesar dalam FGV perlu juga mempunyai wakil untuk duduk dalam Lembaga Pengarah. Kalau itu dapat dilakukan, maka bermaknalah urus tadbir korporat dalam FGV,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan hampir sejam bersama Perdana Menteri di sini.

Sementara itu Shahrir berkata, dari segi pentadbiran dan kepe­mimpinan pula, FGV perlu mengikut amalan urus tadbir yang terbaik seperti yang dikatakan Perdana Menteri.

Selain itu katanya, sehingga kini, tiada wakil daripada FGV yang datang bertemunya berkenaan isu yang berlaku dan pihaknya percaya mungkin pihak FGV tidak faham berkenaan urus tadbir korporat.

“Sehubungan itu, kami juga tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sebagai pemegang saham, siapa sepatutnya yang dijaga, beri pandangan dan perhatian?

“Tidak boleh kalau kata saya Ahli Lembaga Pengarah, maka peme­gang saham kena ikut cakap saya.

“Tidak boleh juga kerana da­lam urus tadbir ini, pengarah-pengarah syarikat mesti juga menghormati pandangan dan kepentingan pemegang saham, bila sudah terbalik keadaannya, jadi ada masalah dalam urus tadbir FGV,” katanya.