Perdana Menteri berkata, bagi mencapai ke arah itu, golongan tersebut perlu mengikut kaedah-kaedah yang boleh dicapai dalam dunia moden demi kebaikan organisasi dan negara.

“Saya tekankan bahawa bangsa Eropah menakluki dunia kerana mereka tersusun. Negara-negara lain yang lebih besar tetapi tidak tersusun. Tentera mereka juga tidak tersusun.

“Kita perlu ada sistem serta kaedah jika kita ingin lakukan apa-apa dan perlu dilakukan menerusi cara yang betul,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Eksekutif Khas Anggota Pentadbiran Kerajaan Malaysia di sini hari ini.

Program yang dijalankan secara tertutup itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan menteri-menteri Kabinet.

Ditanya sekiranya beliau memberi maksud bahawa menteri-menteri ketika ini tidak dilihat mempunyai sistem yang tersusun, Dr. Mahathir memberitahu, pesanan itu tidak terhad hanya kepada menteri-menteri sahaja.

Sebaliknya jelas beliau, ingatan itu merangkumi semua pihak. - UTUSAN ONLINE