Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman berkata, antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mewujudkan pusat pengajian khas yang berperanan mengkaji asal usul kebudayaan Melayu.

“Kita mesti mewujudkan pertalian antara kajian baharu dan penghasilan pakar budaya daripada golongan muda melalui pusat-pusat pengajian yang mampu melahirkan kurator muzium yang mampu mempamerkan manuskrip dan artifak dengan menarik.

“Pada masa sama, langkah ini akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam bidang budaya, sejarah dan pelancongan,” katanya dalam sesi kedua pembentangan bertajuk Pengkajian dan Pelestarian Seni Bina Melayu: Signifikan, Isu dan Cabaran dalam Wacana Prakongres Budaya 2017 bertemakan Warisan Seni Rupa Bangsa di Universiti Putra Malaysia (UPM) dekat sini hari ini.

Ahli-ahli panel lain dalam sidang tersebut ialah Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Nafisah Ahmad dan Ketua Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kamariah Abu Samah.

Muhammad Zainy menambah, kerajaan juga perlu melaksanakan inisiatif yang boleh menyuburkan minat pakar-pakar budaya tempatan untuk mempromosikan kebudayaan sendiri seperti yang dilakukan di negara-negara lain.

Dalam pada itu, Kamariah berkata, pusat pengajian tamadun juga seharusnya diwujudkan di negeri-negeri bagi melahirkan pakar-pakar yang berupaya meneliti naskhah manuskrip berdasarkan pengamatan tempatan.

“Walau bagaimanapun, tenaga pengajar di pusat pengajian tersebut juga perlu mempunyai kemahiran dan pengetahuan supaya kita boleh mencapai matlamat ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Malaysia dan Indonesia yang penduduknya serumpun perlu memperkukuhkan hubungan dan membentuk perpaduan demi kelangsungan dan masa depan bangsa Melayu.

“Saya pernah ke perpustakaan di London, mereka menyatakan manuskrip yang ada di sana adalah dalam bahasa Indonesia manakala apabila di Muzium British mereka menyatakan manuskrip itu adalah dalam bahasa Melayu,” katanya.