Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, terdapat kekeliruan dalam kalangan peniaga dan syarikat di mana mereka beranggapan bahawa tidak perlu mengemukakan penyata GST-03 selepas kadar sifar GST sejak awal bulan ini.

“Peniaga dan syarikat berdaftar masih mempunyai tanggungjawab untuk mengemukakan penyata GST 03 kerana ia masih dikuatkuasakan sehinggalah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan oleh kerajaan nanti.

“Jadi kita kena memastikan pungutan GST sifar ini dikembalikan kepada kerajaan dengan peniaga harus mengemukakan penyata terbabit, “ katanya kepada pemberita dalam Majlis Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) di sini hari ini.

Turut hadir merasmikan program terbabit Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, R Summugam.

Dalam pada itu, Johari berkata, terdapat kira-kira 15,000 peniaga berdaftar dengan sistem percukaian GST di Kedah dengan 98 peratus daripada jumlah itu berjaya mengemukakan penyata GST 03 sebelum ini.

“Peniaga perlu patuhi peraturan dengan mengemukakan penyata GST 03 kepada JKDM melalui sistem dalam talian, selaras dengan undang-undang yang termaktub dalam Seksyen 41 Akta GST 2014,” katanya. - UTUSAN ONLINE