Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua pihak sepatutnya memberikan kerjasama kepada PH dalam usaha mencari mekanisme terbaik untuk pengagihan subsidi bersasar kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) itu.

"Supaya berlaku adil, bagi peluang kepada kerajaan melaksanakan subsidi bersasar ini. Kritik boleh, bagi teguran boleh tapi yang paling penting adalah memberikan jalan penyelesaian.

"Itu baru munasabah supaya rakyat dan negara tenteram kerana melontarkan kritikan tanpa beri jalan penyelesaian tidak bijak," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd dan Eng Sheng Sdn. Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan oleh pelbagai pihak yang tidak yakin kerajaan dapat melaksanakan subsidi itu tanpa ketirisan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan hanya pemilik kereta berkapasiti kuasa enjin di bawah 1,500cc dan motosikal berkapasiti kuasa enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter. - UTUSAN ONLINE