Hanya, sebahagian kecil sahaja Tanah Rizab Melayu berada di kawasan bandar manakala selebihnya adalah di kawasan luar bandar untuk orang Melayu dapat terus menanam padi.

Secara tidak langsung, dasar pecah dan perintah oleh British dapat diteruskan dengan orang Melayu kekal di kampung manakala bangsa-bangsa lain mengaut kekayaan negara.

Selepas negara merdeka, keadaan mula berubah dengan kepesatan pembangunan negara dan taraf ekonomi masyarakat Melayu yang bertambah baik namun kedudukan Tanah Rizab Melayu masih tidak berubah.

Tanah Rizab Melayu memang masih kekal sehingga hari ini namun banyak isu menyelubungi sehingga banyak tanah berkenaan menjadi tanah terbiar di bandar, tanah tidak berhasil serta persepsi negatif terhadap harganya yang rendah di pasaran.

Memang sebarang transaksi perniagaan Tanah Rizab Melayu daripada orang Melayu kepada orang bukan Melayu tidak sah di sisi undang-undang namun ini tidak bermakna tanah berkenaan tidak ada potensi untuk dimanfaatkan.

Nasib Tanah Rizab Melayu yang tidak menentu dan semakin menyusut ini antara disumbangkan oleh sikap kapitalis mengejar keuntungan berbanding semangat patriotisme membela masa depan anak cucu.

Kerajaan negeri mungkin lebih gemar untuk melihat tanah pemilikan umum dibangunkan berbanding Tanah Rizab Melayu memandangkan hasil dan kutipan cukainya yang lebih lumayan.

Bagi pemilik individu pula, keluhan yang diberikan adalah Tanah Rizab Melayu diletakkan pada harga yang rendah dan tidak boleh dijual kepada bangsa lain walaupun ditawarkan puluhan juta ringgit.

Lebih menghimpitkan masalah adalah apabila pemilik asal tanah meninggal dunia dan saiz tanah tidak lagi menjadi ekonomi apabila terpaksa dibahagikan sesama waris.

Masalah-masalah yang membelenggu Tanah Rizab Melayu ini adalah berikutan tidak ada perancangan khusus atau hala tuju yang jelas untuk memajukan tanah berkenaan dan pada masa yang sama menjaga kepentingan masyarakat Melayu.

Andai kata Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah memainkan peranan yang cukup berjaya bagi menggandakan pegangan ekuiti masyarakat Bumiputera, mengapa tidak boleh diwujudkan sebuah institusi yang boleh menguruskan Tanah Rizab Melayu dengan lebih cekap dan menguntungkan?

Institusi atau pemegang amanah berkenaan boleh menggalas tanggungjawab secara komprehensif bagi membela pembangunan ekonomi masyarakat Melayu dan tidak membiarkan tanah berkenaan dilupuskan statusnya begitu sahaja.

Tanah Rizab Melayu tidak boleh terhad sebagai tanah dusun, kebun kecil atau hutan-rimba semata-mata, tanah berkenaan turut berpotensi untuk dimajukan bagi menggalakkan pemilikan rumah oleh masyarakat Melayu serta kewujudan kawasan komersial dan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk bangsa ini meningkatkan penguasaan ekonomi.

Dengan galakan daripada kerajaan, syarikat-syarikat milik Melayu sewajarnya diberi peluang untuk memajukannya dan mengekalkan status Tanah Rizab Melayu.

Bagi anak-anak yang bakal mewarisi Tanah Rizab Melayu daripada ibu bapa mereka, kesedaran perlu ditimbulkan untuk mereka tidak sekali-kali mudah melepaskan peninggalan nenek-moyang mereka dan melibatkan diri dalam industri asas tani bagi memanfaatkan tanah berkenaan.