Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Prof. Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, kesemua perkara tersebut perlu dibantu oleh kajian bagi memperoleh keputusan yang baik.

“Keputusan untuk menutup sekolah tahfiz, mengekalkan sekolah pendidikan vernakular atau mengiktiraf UEC mesti ada satu kajian yang mantap dari pelbagai aspek yang melibatkan semua pihak.

“Kajian itu pula perlu dibincangkan oleh pakar-pakar yang dilantik, barulah sesuatu keputusan itu wajar dibuat setelah mengambil kira setiap keperluan menerusi hasil kajian tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang menyarankan penutupan semua sekolah tahfiz kerana institusi itu tidak memberi harapan kepada generasi baharu Islam.

Pengiktirafan UEC sebelum ini pula pernah disuarakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching hanya dengan alasan agar pemegang sijil berkenaan dibenarkan memasuki perkhidmatan awam.

Sementara itu, Ab. Halim turut memberitahu saranan penutupan sekolah tahfiz adalah sesuatu yang tidak relevan sebaliknya perlu dibantu sekiranya ada kekurangan dan kelemahan.

“Kita perlu bantu mereka (sekolah tahfiz) bukannya menghapuskan mereka. Sekolah tahfiz sendiri menunjukkan prestasi yang baik dari segi akademik dan juga sahsiah. Adakah perkara yang baik ini perlu dihapuskan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE.