Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hasrat tersebut tidak mustahil dilaksanakan kerana setiap tahun Perlis telah membuktikan kejayaan menganjurkan pelbagai pertandingan bertaraf tinggi seperti maraton; tenis; lumba basikal, perahu bersempena pesta air dan ragbi.

“Sudah tiba masanya kejohanan-kejohanan berstatus nasional atau tempatan ini diangkat martabatnya.

“Sukan woodball sebagai contoh, yang mana Perlis walaupun baru menceburinya sejak sedekad lalu tetapi kini sudah pun pernah menjadi tuan rumah bagi kejohanan Woodball Asia, kejohanan

Woodball Universiti Dunia, dan bakal menjadi tuan rumah bagi kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) pada 24 hingga 30 Julai 2020,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Tuanku Syed Putra (Milo/ Perlis) kali ke-38, 2018 di Dewan 2020 di sini, baru-baru ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Belia dan Sukan Negeri, Hamizan Hassan; Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Sdn Bhd, Ng Ping Loong dan kepimpinan Persatuan Tenis Perlis.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin, sesuai dengan keindahan alam semula jadi di Perlis, penganjuran pertandingan bagi jenis-jenis sukan lasak lain juga harus juga diterokai.

Dalam pada itu, baginda juga berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dapat memasukkan aktiviti-aktiviti pelancongan sukan Perlis di dalam kalendar program yang diatur.  -UTUSAN ONLINE