Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau percaya cadangan itu akan dipertimbangkan kementerian sebaik mungkin kerana tidak melibatkan sebarang pembinaan infrastruktur baharu.

Tambahan pula, katanya, ne­geri ini telah berjaya melahirkan dua atlet OKU bertaraf antarabangsa iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly yang memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016.

“Mungkin sebahagian acara sukan tertentu OKU boleh dipindahkan (dari Kampung Pandan) ke negeri ini. Di Perlis sesuai berikutan suasananya yang tenang dan kurang pencemaran.

“Sekolah sukan yang sedang dibina juga berada di kawasan berbukit dan di tepi tasik,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian replika cek Hari Sukan Negara berjumlah RM242,500 untuk diagih-agihkan kepada 15 kawasan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sementara itu, Azlan berkata, ketika ini, Perlis menghantar 11 atlet OKU untuk menjalani latihan di Pusat Kecemerlangan OKU di Kampung Pandan, Kuala Lumpur iaitu jumlah teramai berban­ding negeri-negeri lain.

“Dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Kuching, Sarawak, baru-baru ini, atlet OKU Perlis turut menunjukkan pencapaian cemerlang dengan memenangi 22 daripada 37 emas yang dipertan­dingkan,” katanya.

Terdahulu, Azlan berkata, sejumlah peruntukan akan diagih-agihkan kepada 15 kawasan DUN sebagai persiapan menyambut Hari Sukan Negara pada 8 Oktober ini.

“Kali ini kita menyasarkan penyertaan lebih ramai iaitu 20 pe­ratus daripada jumlah penduduk Perlis atau 50,000 orang. Semua program telah disiapkan dan di­selaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing,” katanya.

Beliau juga berharap penduduk negeri ini akan mengambil bahagian dalam pelbagai yang dijalankan untuk bukan sahaja menyemai budaya sihat dengan bersukan tetapi turut menyatukan rakyat.