Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan bercemar duli berangkat menghadiri majlis santapan malam yang dihoskan oleh Duta Besar Negara Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa di residensi beliau di sini malam ini.

Hadir sama anakanda sulung baginda berdua puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan isteri Dr. Makio, Yuko Miyagawa.

Turut hadir ahli-ahli pemegang amanah Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang menghantar lima orang graduan wanita dari Malaysia setiap tahun ke Josai International University (JIU) Tokyo untuk tempoh lima tahun bermula tahun lalu iaitu Datuk M. Rajasekaran, Datuk Charon Wardini dan Datuk Yeoh Soo Min.

Majlis Santapan tersebut atas persilaan Duta Besar Negara Jepun untuk mengeratkan lagi hubungan antara negara Jepun dan negeri Perlis secara amnya serta YTF dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis secara khususnya di samping membincangkan potensi dan peluang yang lebih erat yang boleh diceburi dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan, ekonomi dan bahasa.

Raja Muda Perlis ialah Pengerusi YTSP Perlis manakala Raja Puan Muda Perlis pula ialah Pengerusi YTF. - UTUSAN ONLINE