Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, hanya mereka berdua bertugas di bahagian kaunter di hotel setinggi dua tingkat berkenaan.

Pekerja itu, Nalin Kliang, 25, berkata, dia terdengar bunyi angin yang kuat sebelum diikuti hujan sederhana lebat.

Katanya, selang beberapa ketika, sebatang pokok berusia lebih 10 tahun tumbang lalu menghempap sebuah van yang sedang bergerak di jalan raya di hadapan hotel itu.

“Saya dan rakan, Suda Kriai, 26, panik kerana angin kuat memasuki hotel. Kami berdua menutup pintu utama dengan memegangnya kerana bimbang angin akan merosakkan barang-barangan di dalam hotel.

“Tidak lama selepas itu, sebatang pokok tumbang betul-betul di depan mata kami,” katanya yang memberitahu ribut itu adalah yang terburuk sejak lima tahun bekerja di situ, ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, ribut yang me­landa beberapa kawasan di negeri ini mengakibatkan sebanyak 78 laporan diterima membabitkan kerosakan premis perniagaan, harta awam, hospital, sekolah dan rumah rosak.

Angin kencang bertiup selaju 31 kilometer sejam beserta hujan sederhana lebat itu melanda setelah negeri ini mengalami musim kemarau dan kering disebabkan feno­mena El Nino sejak Januari lalu.

Keadaan itu turut menyebabkan air laut bergelora sehingga melimpah di atas jalan raya di beberapa kawasan di Kuala Perlis namun tidak menjejaskan operasi feri ke Langkawi, Kedah.

Lima kawasan paling terjejas adalah di Taman Dato Jaafar yang mencatatkan sebanyak 30 buah rumah rosak diikuti Wang Ulu (10), Kampung Pondok (10), Kampung Syed Omar (enam) dan Ujung Bukit (empat).

Turut terjejas papan tanda Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang patah dan bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin yang diterbangkan angin.

Pokok yang tumbang turut menghempap sebuah van di Jalan Jejawi, Arau, berdekatan Hotel Soo Guan sehingga mencederakan pemandunya.

Selain daripada itu, beberapa batang jalan raya turut sesak kira-kira dua jam antaranya di Jalan Santan dan Jalan Kangar-Alor Setar.