Abdul Aziz Abdul Rahman
ABDUL AZIZ

Pengamal undang-undang, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, memahami Perlembagaan penting supaya isu sensitif yang termaktub dalam Perlembagaan tidak dipersoalkan.

Menurutnya, isu kedudukan Melayu, agama Islam, raja dan bahasa kebangsaan contohnya tidak boleh dipersoalkan kerana termaktub dalam Perlembagaan selain diletakkan dalam Akta Hasutan 1948.

"Tapi didapati ramai yang tidak faham, malah anggota kerajaan pun ada yang tidak faham sehingga mahu membatalkan Akta Hasutan sampai MPM (Majlis Perundingan Melayu) terpaksa bantah serta jumpa Majlis Raja-Raja.

"Semua orang hendaklah faham sejarah Perlembagaan dan isi kandungan terutamanya perkara sensitif," katanya dalam Konvensyen Karamah Bangsa anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Abdul Aziz yang juga bekas Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Malaysia Airline (MAS) memberitahu, kini ada pula yang memperjuangkan hak asasi manusia dan beliau tidak menghalangnya selagi mengikut Perlembagaan.

"Kerajaan perlu ambil berat isu ini dan saya cadangkan ia diajar di sekolah dan diberi penjelasan kepada orang ramai.

"Sekarang ini merbahaya, di mana-mana pergi ada pihak persoal kenapa Melayu dapat lebih dari kaum lain," ujarnya. - UTUSAN ONLINE