Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, pergantungan selama tiga bulan itu membolehkan siasatan dibuat ke atas Nafas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Salahuddin berkata, Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) telah mengeluarkan perintah penggantungan ke atas Nafas susulan satu laporan pengurusan audit yang dilakukan pada 26 Mac 2018.

"Nafas merupakan agensi pertama di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang dikenakan tindakan serius (penggantungan).

"Laporan Pendaftar PP mendapati Nafas menghadapi masalah serius dalam tadbir urusnya terutama dari aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah dan pengurusannya," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, penggantungan itu tidak menjejaskan operasi dan 770 kakitangan Nafas sebaliknya hanya kuasa dan pentadbiran pengurusan atasan digantung.

"Dalam tempoh pergantungan, Pendaftar PP telah melantik Pentadbir di bawah Seksyen 23 Akta 109 untuk menguruskan hal ehwal Nafas. Pada masa sama semua kelemahan yang dikenalpasti akan ditambahbaik dan sistem kerja yang mantap akan diwujudkan.

"Ini kita anggap sebagai sampah sarap dalam kementerian kita, dengan penggantungan ini pihak Pendaftar PP boleh lakukan kerja sepertimana dipertanggungjawabkan selain kembali Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kepada landsan asal dan keuntungan agensi dapat dimanfaatkan," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menamatkan monopoli Padi dan Beras Nasional (Bernas) untuk menjaga kepentingan pengeluar padi tempatan.

"Kita akan menjadikan Indonesia sebagai model untuk menstrukturkan semula Bernas," katanya. - UTUSAN ONLINE