Ketua Pusat Kawalan Operasi (OCC) MMMSL, Mohd. Affandi Raduan berkata, pihaknya telah melaksanakan simulasi untuk kelima-lima format perjalanan yang bakal digunakan dan sudah bersedia untuk operasi haji yang akan bermula pada 7 Zulhijjah ini.

Menurutnya, ketika operasi sebenar nanti, staf di OCC akan bekerja dalam empat syif bagi menjalankan tugas untuk menga­wal trafik, kuasa dan stesen serta informasi ataupun berhu­bungan dengan pasukan penyenggaraan.

“Pengumuman informasi secara berkala dan mengikut ke­perluan akan dilakukan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, Arab dan Urdu.

“Ini selaras dengan kefahaman pengguna perkhidmatan ini yang datang dari negara-negara Teluk dan Asia Selatan seperti India, Bangladesh dan Pakistan,” ka­tanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Operasi di OCC dikendalikan oleh 28 staf termasuk 21 staf Prasarana Malaysia Berhad yang menjadi operator perkhidmatan tren haji ini sejak tahun lepas.

Ketika waktu puncak, jumlah penumpang akan mencapai 350,000 sehari, sekali gus menjadikan perkhidmatan MMMSL sebagai operasi tren paling mencabar dalam industri rel antarabangsa.

Tambah Mohd. Affandi, de­ngan jajaran sepanjang 18.1 kilometer, MMMSL beroperasi di sembilan stesen yang terletak di kawasan-kawasan ibadat rukun haji iaitu tiga di Arafah, tiga (Muzdalifah) dan tiga (Mina).

“Pergerakan tren berdasarkan kepada pergerakan jemaah, yang mana akan berhimpun di Arafah un­tuk berwukuf pada 9 Zulhijjah sebelum bergerak ke Mudzalifah pada malam yang sama dan se­te­rus­nya ke Mina pada keesokan hari.

“Bermula malam 10 hingga 13 Zulhijjah, para jemaah akan berulang ke Mina sama ada berjalan terus dari khemah-khemah mereka di sekitar Mina ataupun dengan menaiki bas ke Arafat 3 dan meneruskan perjalanan dengan tren,” katanya.