Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Penyakit Tidak Berjangkit) Dr Omar Mihat berkata, saringan bermula tahun lalu itu mendapati pelajar dari usia sekolah rendah lagi sudah mula menjinakkan diri dengan rokok termasuk golongan pelajar yang tidak disangka boleh terjebak.


Justeru, katanya, pihaknya kini merancang untuk memperkenal ‘tool kit’ tentang bahaya rokok sebagai alat bantu mengajar guru pra-sekolah bagi membendung tabiat negatif ini dari awal lagi.


“Kajian Tembakau dan E-Rokok Remaja Malaysia (TECMA) 2016 menunjukkan peningkatan bilangan perokok remaja kepada 15.2 peratus berbanding 11.2 peratus hasil kajian Global School-Based Student Health Survey (GSHS) di negara ini pada 2012.


“Trend menaik ini sudah tentu membimbangkan apatah lagi tabiat merokok sejak dari usia muda adalah penyumbang kepada pelbagai penyakit lain ketika dewasa.


“Penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, diabetes dan berkaitan kardiovaskular boleh dielak jika gaya hidup sihat diamalkan dari usia muda lagi,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Kesihatan Remaja Kebangsaan Ke-13 anjuran Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH) di sebuah hotel di sini hari ini.


Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir; Presiden MAAH, Dr Mymoon Alias dan Pengarah Pusat Kesihatan Remaja, Hospital Kanak-kanak Diraja Melbourne, Prof. Susan M.Sawyer. 


Simposium tiga hari bermula semalam itu membincangkan mengenai pelbagai cabaran dan peluang dalam menangani penyakit tidak berjangkit kalangan remaja. - UTUSAN ONLINE