KTMB dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian pokok tumbang di Kilometer 372.46 kira-kira pukul 4.45 petang tadi  menyebabkan tiada perkhidmatan tren KTM Komuter di antara laluan Stesen Kepong dan Stesen Sungai Buloh.

Menurutnya, perkhidmatan tren dari Stesen Tanjung Malim akan berhenti di Stesen Sungai Buloh, manakala perkhidmatan tren dari Stesen Pelabuhan Klang akan berhenti di Stesen Kepong.

“Para penumpang dinasihati menggunakan perkhidmatan pengangkutan alternatif iaitu transit aliran massa (MRT) di Stesen Sungai Buloh. Perkhidmatan tren bagi laluan Stesen Pelabuhan Klang-Stesen KL Sentral-Stsen Sungai Gadut dan Stesen Batu Caves beroperasi seperti biasa,” katanya di sini, hari ini.

Kenyataan itu turut memberitahu, tren ETS 9030 laluan KL Sentral-Ipoh tertahan di antara laluan Stesen Sungai Buloh dan Stesen Kepong.

Jelasnya, semua perkhidmatan tren ETS mengalami kelewatan perjalanan antara 60 hingga 90 minit.

“Maklumat terkini berkaitan operasi tren akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Kerja baik pulih sedang giat dijalankan bagi memastikan kedua-dua landasan dapat beroperasi seperti biasa dengan segera,” katanya.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Panggilan KTMB 03-22671200 atau layari laman web www.ktnb.com.my. - UTUSAN ONLINE