Beliau berkata, penyampaian khidmat awam masa kini harus menjangkaui kecekapan dan keberkesanan, dan ke arah mena­ngani dengan jayanya cabaran itu, pemahaman meluas daripada setiap peringkat perkhidmatan awam diperlukan.

“Kita tidak hanya ditugaskan dengan penyelesaian masalah dasar yang amat rumit, tetapi kita juga mesti mempertimbangkan tuntutan pemegang kepentingan kita, laungan mereka terhadap ke­telusan, untuk dimasukkan dalam proses pembuatan dasar dan kita memberi jawapan kepada kebimbangan mereka dalam ‘masa nyata’,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Presiden CAPAM dan Anugerah Inovasi Antarabangsa (IIA) di sini hari ini.

Ali menegaskan, tidak ada sebarang ‘penyelesaian yang pantas.’

“Inovasi bukanlah suatu fasa atau berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya berperanan melengkap­kan mekanisme biasa kerajaan kita,” katanya.

Ali, yang juga Ketua Setiausaha Negara menegaskan, bahawa para pemimpin semakin memahami bahawa kejayaan terletak pada pernyataan strategi yang jelas, di samping pembabitan pekerja dan rakyat.

Menyentuh tentang anugerah berkenaan, beliau berkata, CAPAM menyampaikan anugerah kepada IIA untuk mengiktiraf serta menyanjung semangat inovasi dalam perkhidmatan awam.

“Ia bertujuan menggalakkan pembawa pembaharuan dalam sektor awam untuk mencabar trend semasa dan melonjakkan idea baharu serta berinovasi bagi menambah baik perkhidmatan awam.

“Sehubungan itu, sektor awam yang melalui transformasi dan berdaya tahan perlu memanfaatkan strategi pengurusan bakat untuk mengembangkan kualiti sedemikian bagi menambah baik transformasi sektor awam,” kata­nya. – BERNAMA