ANTHONY LOKE SIEW FOOK
ANTHONY LOKE SIEW FOOK 

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, beliau memandang serius aktiviti kereta sapu yang dijalankan oleh rakyat tempatan dan negara jiran itu yang boleh menjejaskan pendapatan pengusaha kenderaan sewa berdaftar.

Katanya, bagi menangani masalah tersebut, beliau mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya menambah jumlah anggota penguat kuasa untuk menjalankan pemeriksaan di pintu sempadan seluruh negara.

Beliau berkata, adalah menjadi kesalahan untuk menawarkan perkhidmatan kereta sapu sama ada oleh rakyat tempatan atau warga asing kerana pengusaha terlibat tidak mempunyai lesen kenderaan perdagangan.

“Kita menyedari masalah kereta sapu wujud di semua pintu sempadan di seluruh negara, bukan hanya di pintu masuk Tebedu-Entikong di Serian, Sarawak.

“Bagi menangani masalah ini, kita minta JPJ supaya meningkatkan tahap penguatkuasaan di kawasan sempadan kerana aktiviti ini menjejaskan perkhidmatan kenderaan yang berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Penyerahan Surat Tawaran Kelulusan (STK) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak di Pusat Maklumat Islam Kuching di sini hari ini.

Yang turut hadir, Mohd. Syafiq Anas dan Pengarah LPKP Sarawak, Razami Mohamad Jamali.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, kereta sapu adalah berbeza dengan perkhidmatan e-hailing yang dikawal selia oleh kerajaan melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017.

Malah, ujarnya, kementerian sedang memperhalusi peraturan dalam perkhidmatan e-hailing sebelum diwartakan pada Oktober ini.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kementeriannya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai JPJ yang terlibat dalam sindiket pengeluaran lesen terbang.

“Perbuatan mengeluarkan lesen terbang kepada pemandu yang tidak layak dan tidak diuji kemahiran memandu adalah amat serius kerana boleh membahayakan nyawa orang lain.

“Kementerian tidak akan ber­kompromi dengan pegawai JPJ terlibat kerana ia menjejaskan ke­wibawaan dan imej jabatan. Kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangani isu tersebut,” katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada pegawai atau anggota JPJ Sarawak ditangkap berhubung kesalahan mengeluarkan lesen terbang setakat ini.