Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, program berkenaan diperkenalkan bagi memastikan pekerja mendapat panduan dan menjalani pemeriksaan secara percuma untuk mengelakkan mereka mendapat penyakit berisiko seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, serangan jantung serta barah.

“Perkeso memberikan baucar percuma kepada pekerja yang layak namun tidak ramai yang menjalani saringan tersebut. Bukan itu sahaja, pelbagai program dan inisiatif dilakukan bagi memberi kesedaran kepada para pekerja mengenai kepentingan menjaga kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemimpin Masyarakat Bersama Penghulu-Penghulu Seluruh Negeri, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) Perkeso, Samihah Md. Razi dan Pengarah Perkeso negeri, Zainal Ismail.

Pada majlis tersebut, seramai 22 orang menerima pampasan cek faedah berjumlah RM357,540 akibat mengalami kecederaan semasa bekerja.

Sehingga Julai lalu, Perkeso membelanjakan sebanyak RM1.5 bilion kepada pencarum yang layak manakala pada tahun lalu sebanyak RM2.4 bilion membabitkan hampir 400,000 orang.

Sementara itu, menurut Zainal, hanya 15 peratus daripada 58,254 pekerja di negeri itu yang menerima baucar HSP hadir ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan.

“Saya amat berharap para pekerja segera menggunakan baucar berkenaan dalam usaha membendung penyakit dari awal bagi melahirkan pekerja yang produktif.

“Program seperti ini menunjukkan Perkeso amat prihatin tentang aspek kesihatan para pekerja dan menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.